LAPORAN TAHUNAN 2018

LAPORAN TAHUNAN 2018

Tahun 2018 merupakan satu tahun yang menarik, menginspirasikan, penuh dengan semangat dan tenaga yang tidak terbatas. Laporan tahunan saya yang pertama setelah menjadi Ahli Parlimen Petaling Jaya, bertujuan untuk merakamkan semangat ini di Petaling Jaya. Laporan ini bertujuaan untuk berkongsi pengalaman saya dalam menjalankan program-program komuniti, isu-isu yang dibangkitkan dan perbelanjaan peruntukan di bawah pejabat saya pada tahun 2018.

Sokongan daripada para sukarelawan, orang awam dan penduduk adalah teramat baik dan tidak terputus-putus. Mereka telah menunjukkan kepada saya betapa penduduk Petaling Jaya ingin mengambil bahagian dalam proses perubahan yang dijanjikan semasa PRU-14.  Kami telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak ADUN, ahli-ahli Majlis MBPJ, NGO-NGO, Pertubuhan Masyarakat Civil (CSO), dan penduduk Petaling Jaya. Dedikasi mereka telah membuka mata kepada kami semua dan membawa pengalaman-pengalaman yang berbeza demi menjayakan kerja kami di P105 Petaling Jaya.

Laporan ini juga memperkenalkan beberapa inisiatif yang dilancarkan oleh Pejabat saya seperti Inisiatif 105PJ. Inisiatif ini dijalankan bersama dengan sukarelawan-sukarelawan di bawah Pejabat Parlimen P105 dan dibahagikan kepada tujuh kumpulan iaitu Kesihatan, Alam Sekitar, Belia, Wanita, Pendidikan Demokrasi, Perumahan dan Pengangkutan. Kumpulan-kumpulan ini telah membantu untuk menjalankan program-program pejabat saya bagi membangunkan Petaling Jaya seiring dengan visi saya. Saya juga telah memperkenalkan beberapa lagi inisiatif seperti Pejabat Bergerak P105 iaitu untuk membawa perkhidmatan saya kepada penduduk-penduduk yang tidak dapat ke pejabat saya di No 18 Jalan Changgai, Petaling Jaya. Bagi memaklumkan kepada orang awam tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di Petaling Jaya, pejabat ini juga telah merakam dan mendokumentasikan cerita ‘People of PJ’ yang disiarkan melalui laman media sosial saya.

Antara kejayaan inisiatif ini termasuklah membentuk satu pentas dimana penduduk-penduduk dapat disertakan dalam proses membuat keputusan dalam sistem demokrasi ini, memberi bantuan makanan kepada golongan B40 yang berpendapatan kurang daripada RM800 sebulan yang paling memerlukannya dan mengadakan program-program untuk memperkasakan golongan wanita dan belia.

Pada tahun 2019, inisiatif-inisiatif ini akan ditambahbaikkan melalui lebih banyak program keusahawanan; lebih banyak program kesedaran tentang peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB), dan pengurusan serta pentadbiran kerajaan. Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menjayakan program perintis mereka untuk menghasilkan persekitaran perumahan yang mampan. Saya harap program-program ini dapat dilanjutkan ke flat-flat kos rendah dan PPR yang lain. Selain itu, inisiatif ini juga akan terus berusaha untuk mengubah sistem pengangkutan awam di Petaling Jaya supaya lebih ramai lagi penduduk terutamanya dari golongan B40 mendapat akeses kepada pusat-pusat perkhidmatan sosial yang penting.

Sejak bulan Mei, pejabat ini telah menerima pelbagai aduan dan kes dari penduduk Petaling Jaya. Kami telah menerima sebanyak 156 kes dari 10 Mei ke 18 Disember 2018. Antara kes-kes yang paling banyak diterima termasuklah kes tentang isu Kad Pengenalan (32), Kebajikan (16), Perumahan (14) dan Undang-undang (13). Selain itu, saya juga telah menyediakan dan menjelaskan pecahan perbelanjaan peruntukan yang digunakan oleh pejabat saya sepanjang tahun ini.

Sebagai Ahli Parlimen, saya juga telah menyediakan maklumat tentang jenis isu-isu yang dibangkitkan oleh saya di dalam Dewan Rakyat. Kebanyakkan isu-isu ini dibawa ke pejabat saya oleh penduduk-penduduk di kawasan Petaling Jaya. Ini termasuk isu kemiskinan bandar, keperluan untuk melaksanakan sistem cukai progresif dan keperluan untuk meningkatkan akses kepada sistem kesihatan. Saya juga telah membentangkan isu-isu berkaitan dengan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kepentingan menangani isu kesaksamaan gender, kepentingan mengimplementasi reformasi institusi-institusi untuk membasmikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan menyediakan rangka kerja (framework) untuk hak asasi manusia.

Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada ADUN Bukit Gasing YB Rajiv Rishyakaran, ADUN Taman Medan YB Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan ADUN Seri Setia YB Halimey Abu Bakar; Datuk Bandar MBPJ Dato’ Mohd Azizi bin Mohd Zain dan pegawai-pegawainya, Ahli Majlis MBPJ Encik Ahmad Akhir Pawan Chik (Zon 17), Pn Ermeemarianna Bt Saadon (Zon 15), Encik Derek Fernandez (Zon 12), Encik Sugumaran A/L Annamalai (Zon 14), Puan Norainie Haziqah (Zon 24), YM Raja Dairuz Binti Raja Mazlan (Zon 18), Pn Elaine Magdaline Nathaniel (Zon 10), Encik Thayalan A/L Krishnasamy (Zon 11), Encik Leong Chee Cheng (Zon 7), Puan Rahibah Che Omar (Zon 22), Encik Loyis Anak Uding (Zon 9), Encik Anwar Nekhan (Zon 4), Encik Farhan Haziq (Zon 19), Encik Shakiren Bin Dato’ Abd Razak (Zon 21), Encik Ong Swee Leong (Zon 13), Encik Terence Tan Teck Seng (Zon 16); Ahli Majlis Shah Alam Afzainizam Abd Rahman (MBSA Zon 7); Jabatan-jabatan kerajaan Negeri Selangor dan Negara termasuk Jabatan Kebajikan Negara dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama; ketua-ketua komuniti; dan persatuan-persatuan penduduk dan rukun tetangga di sekitar kawasan Petaling Jaya.Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan pejabat saya yang telah banyak menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam menjayakan visi dan misi pejabat saya.

Saya berhasrat untuk mengeluarkan laporan ini pada setiap tahun bukan sahaja untuk memaparkan kerja yang dijalankan oleh pejabat saya tetapi juga untuk meningkatkan akauntabiliti dan perkhidmatan kerja saya kepada Rakyat.

Laporan Tahunan penuh boleh dibaca di laman web: http://bit.ly/2Qa9G9l