BUKA SIASATAN TERHADAP EDGENTA UEMS BERKAITAN DAKWAAN PEKERJA DILAYAN SECARA TIDAK ADIL

BUKA SIASATAN TERHADAP EDGENTA UEMS BERKAITAN DAKWAAN PEKERJA DILAYAN SECARA TIDAK ADIL

​Penahanan petugas-petugas barisan hadapan dari Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidatan Bersekutu (NUWHSAS) adalah sangat memalukan dan tidak boleh dipandang ringan. Tindakan menindas suara petugas barisan hadapan adalah tidak adil dan kejam dan menunjukkan kurangnya rasa hormat dan perhatian oleh majikan terhadap kebajikan pekerja-pekerja mereka yang setiap hari mempertaruhkan nyawa demi melindungi Rakyat daripada ancaman Covid-19.

Semalam, pihak polis telah menahan lima orang wanita, termasuk setiausaha eksekutif NUWHSAS, di bawah Seksyen 186 dan 269 Kanun Keseksaan ketika satu protes secara aman di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Mereka yang ditahan telah menyuarakan keprihatinan mengenai layanan tidak adil terhadap pekerja pembersih hospital oleh majikan mereka Edgenta UEMS, yang didakwa tidak menyediakan peralatan pelindung yang mencukupi, menafikan hak kesatuan pekerja mereka dan memaksa pekerja untuk menukar waktu dan giliran bekerja.

Adalah sangat menyedihkan bahawa terdapat dakwaan berlakunya eksploitasi seperti ini terhadap petugas-petugas barisan hadapan di bawah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Edgenta UEMS.

Pihak berkuasa harus menyiasat dakwaan layanan dan gangguan yang diterima pekerja pembersihan oleh syarikat berkenaan.

Tindakan menahan wanita dan lelaki yang rajin bekerja, terutamanya mereka dari komuniti rentan yang sedang dalam kesusahan sememangnya kejam. Mereka ini merupakan pekerja gaji minimum yang harus bersusah payah untuk menjana pendapatan yang mencukupi untuk menerusan kelangsungan hidup.

Pihak polis harus membebaskan semua tahanan dan menggugurkan semua tuduhan terhadap mereka.

Inilah masanya bagi Kementerian Sumber Manusia untuk menunjukkan kepemimpinan dan membawa reformasi terhadap undang-undang buruh kita yang lemah agar dapat mempertahankan hak pekerja untuk berhimpun dan bersuara; memastikan keadaan pekerjaan yang lebih baik; mengambil tindakan terhadap syarikat sektor swasta yang menindas kesatuan pekerja; dan meningkatkan keselamatan dan kesihatan pekerja, terutamanya semasa berlakunya krisis seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang ada sekarang.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA