HENTIKAN SIASATAN FADIAH NADWA & MANSUHKAN AKTA HASUTAN

HENTIKAN SIASATAN FADIAH NADWA & MANSUHKAN AKTA HASUTAN

Walaupun belum sehari gabungan Perikatan Nasional menduduki kerajaan, kita dapat melihat satu contoh dimana pihak polis bertindak keterlaluan dalam membuka siasatan terhadap orang awam.

Aktivis Fadiah Nadwa Fikri kini berada dibawah siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mengajak orang ramai untuk berkumpul di Dataran Merdeka malam semalam bagi membantah penubuhan kerajaan pintu belakang.

Tindakan pihak polis adalah bersifat menyekat kebebasan bersuara dan seolah-olah merupakan satu ugutuan terhadap orang awam untuk tidak bersuara. HAK BERSUARA ADALAH HASIL DARIPADA PERJUANGAN RAKYAT DAN PERLU DIPERTAHANKAN TANPA PEMBALASAAN!

Saya mengutuk siasatan ini sekeras-kerasnya kerana perhimpunan orang ramai malam semalam merupakan satu perhimpuannan secara aman dan tindakan yang diambil pihak berkuasa adalah bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan prinsip-prinsip keadilan.

Adakah tindakan undang-undang yang menyekat kebebasan Rakyat untuk bersuara akan kerap kali digunakan selagi Perikatan Nasional menjadi kerajaan?

Adakah prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang ditegaskan sebelum ini oleh Bersatu semasa berada dalam kerajaan Pakatan Harapan kini diabaikan?

Walaubagaimanapun, tindakan membuka siasatan terhadap Rakyat ini adalah dengan jelas bersifat keterlaluan dan lebih kepada prinsip menyekat kebebasan bersuara daripada memelihara ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang.

Saya memohon untuk pihak polis dengan segera mengugurkan kes siasatan terhadap Fadiah dan memberhentikan intimidasi terhadap Rakyat yang ingin melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan berhemah.

Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan dengan serta-merta, dan undang-undang lain yang sewenang-wenangnya menyekat hak kebebasan bersuara juga harus dipinda.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA