HENTIKAN UGUTAN KEJAM, WUJUDKAN AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

HENTIKAN UGUTAN KEJAM, WUJUDKAN AKTA KEHARMONIAN NASIONAL

Saya terkejut mendengar berita bahawa lebih kurang 200 individu telah mencetuskan kekecohan dan membuat ugutan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, anggota BERSATU dan ibu bapa beliau semasa mesyuarat di Ulu Tiram dijalankan malam semalam. Ini bukan kali pertama di mana YB Syed Saddiq telah disasarkan dan diserang oleh satu kumpulan yang besar.

Serangan semalam bersifat jenayah dan merupakan salah satu serangan terhadap keselamatan Rakyat. Saya masih ingat bahawa taktik serupa ini telah digunakan oleh penyokong-penyokong Baju Merah yang mengugut penyokong-penyokong Bersih semasa konvoi perhimpunan Bersih 5.

Sekiranya tindakan segera tidak diambil, kita seolah-olah menghantar satu mesej bahawa kegiatan samseng sedemikian mempunyai tempat dalam masyarakat kita. Seharusnya kita tidak boleh membenarkan hal ini berlaku.

Dalam konteks hak demokratik, terdapat satu garis tipis diantara tindakan membuli dan kritikan positif terhadap perbuatan orang lain. Apa yang telah berlaku semalam telah melampaui batas dan dapat disifatkan sebagai satu ugutan dan halangan hak demokratik seseorang untuk  berkumpul secara terbuka ataupun secara sulit tanpa gangguan.

Terdapat sejumlah insiden yang kian meningkat dimana kebebasan hak asasi Rakyat telah diserang. Contohnya, Serangan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar Universiti Malaya pada bulan Mac lalu merupakan satu contoh betapa mudahnya insiden sedemikian boleh berubah menjadi ganas.

Sifat biadap dan ancaman sedemikian adalah satu serangan terhadap hak dan keselamatan kita, iaitu dari segi emosi, fizikal atau sosial. Tindakan jenayah ini ialah satu bentuk ekstremisme dan mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan dengan serta merta.

Polis tempatan mesti bertindak dengan kadar segera untuk mengambil tindakan dan Ketua Polis Negara juga mestilah menubuhkan dan mempunyai SOP bagi mengelakkan insiden sedemikian dari berlaku sekali lagi.

Kerajaan juga seharusnya dengan segera menggubal Akta Keharmonian Nasional dan menubuhkan Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian dengan kadar secepat yang mungkin bagi menghentikan tindakan kotor dan samseng ini daripada berulang.

Sekiranya kita tidak bertindak dengan segera terhadap jenayah kebencian dan keganasan ini, seolah-olah kita menyokong ilusi bahawa “setiap suara adalah sama” dan seterusnya akan terdapat suara yang menindas, mengugut dan mengancam orang lain. Terdapat juga bahaya bahawa tindakan biadap, hiprokrit dan menghasut akan mengundang kepada insiden keganasan.

Adalah amat penting bahawa kita menghasilkan satu ruang yang selamat, dimana setiap Rakyat Malaysia memelihara hak asasi fundamental. Sekiranya tidak, kita akan mengambil risiko membahayakan demokrasi kita.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA