HORMATI MANDAT KERAJAAN PAKATAN HARAPAN, TUMPU PERHATIAN TERHADAP REFORMASI

HORMATI MANDAT KERAJAAN PAKATAN HARAPAN, TUMPU PERHATIAN TERHADAP REFORMASI

Pakatan Harapan memenangi PRU-14 berdasarkan mandat untuk melaksanakan reformasi. Kita sebagai wakil Rakyat Pakatan Harapan memikul tanggungjawab untuk menegakkan agenda reformasi, memastikan kemakmuran bersama dan memulihkan kuasa kepada pemilik yang sebenar: rakyat. 

Pakatan Harapan diberi amanah ini oleh rakyat berdasarkan premis bahawa kita merupakan pakatan parti-parti yang sama rata, bersama dengan parti Warisan, yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti. 

Perkara ini telah diulangi oleh Tun Dr. Mahathir pada hari Jumaat dan dipersetujui secara sebulat suara oleh kepimpinan Pakatan. Majlis Presiden Pakatan Harapan telah meletak kepercayaan kami kepada Tun Dr. Mahathir untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.

Pelbagai cabaran masih perlu diselesaikan dan pelbagai polisi reformasi masih lagi belum terlaksana seperti kesaksamaan ekonomi, pilihan raya bersih dan bebas dan pembasmian penyelewangan dari setiap lapisan masyarakat kita. Pakatan perlu kekal komited dengan visi dan idealisme reformasi, memperkukuhkan akar umbi dan bersatu dalam menghadapi polemik peralihan kuasa. 

Wakil Rakyat harus kekal komited dengan visi ini untuk: (a) menumpukan perhatian terhadap ekonomi dan kegelisahan rakyat; seperti peningkatan harga barangan dan pembasmian kemiskinan (b) untuk menghormati mandat yang diberi oleh rakyat kepada Kerajaan semasa dan memberi ruang untuk ia mentadbir sepenuhnya. 

Sekiranya pengstrukturan semula diperlukan, ianya hanya boleh dilakukan secara bersekali. Semangat perjuangan Pakatan Harapan untuk memastikan kemakmuran bersama dan melaksanakan reformasi mesti dikekalkan. 

Sebarang perubahan yang lain tidak boleh dilaksanakan melainkan melalui proses demokrasi. Sebarang percubaan melakukan sebaliknya adalah bertentangan dengan kehendak Rakyat.

MARIA CHIN ABDULLAH

AHLI PARLIMEN PETALING JAYA