JANGAN MENGGUNAKAN AGAMA DALAM MEMPERJUANGKAN HAK WANITA

JANGAN MENGGUNAKAN AGAMA DALAM MEMPERJUANGKAN HAK WANITA

Walaupun isu peruntukan dan sokongan yang diterima Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat kepada Sisters in Islam (SIS) untuk membantu Wanita Islam di seluruh Malaysia telah dijelaskan, Ahli Parlimen PAS terus menyerang Kerajaan dan NGO tersebut secara tidak adil.

Kenyataan YB Siti Zailah Mohd Yusoff baru-baru ini di Dewan Rakyat berkenaan peruntukan yang diterima SIS adalah satu tindakan oleh PAS untuk mempengaruhi kerajaan untuk menubuhkan satu sistem meluluskan peruntukkan secara terpilih yang berasaskan agama dan ideologi.

Ini adalah sesuatu yang berbahaya. Peruntukkan Kementerian semestinya tidak memihak. Adalah jelas bahawa SIS memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian, termasuklah dalam soal meningkatkan kebajikan wanita dan dalam membela hak asasi manusia.

Tambahan pula, NGO tersebut mempunyai mekanisma semak dan imbang (checks and balances) dalam pengurusan kewangan mereka untuk beroperasi secara telus dan bertanggungjawab.

Sudah tiba masanya untuk PAS mengambil pendekatan untuk mempelajari tentang kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh SIS dan tidaklah sekadar memburukan organisasi tersebut.

Sudah bertahun-tahun lamanya SIS memperjuangkan kesaksamaan hak di Malaysia. Klinik bantuan guaman percumanya, Telenisa, telahpun membantu lebih daripada 8,400 orang sejak 2003 dari seluruh Malaysia, termasuk dari Kelantan, dalam soal undang-undang keluarga Islam dan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah. Ini termasuklah kes berkaitan dengan penceraian, kes poligami, penjagaan anak , dan harta.

Sekurang-kurangnya separuh daripada wanita ini berpendapatan sebanyak RM2,500 ke bawah dan tidak mampu membayar yuran guaman yang diperlukan untuk mengendalikan sistem perundangan Syariah yang kompleks dan berbeza dari negeri ke negeri. Ramai wanita Islam tidak mempunyai sokongan yang secukupnya dari segi bantuan guaman yang berkelayakan dan tambahan lagi prasangka negatif sosial juga merumitkan situasi mereka.

Tahun lepas, Telenisa telah mengendalikan 576 kes dan 32.5 peratus daripadanya melibatkan lelaki Islam yang gagal menyokong isteri dan anak mereka dari segi kewangan. Ramai wanita Islam turut mendapat nasihat perundangan Telenisa berkenaan kes perceraian, terutamanya apabila suami mereka enggan bercerai.

Tanpa pertubuhan seperti SIS, wanita-wanita yang terpinggir tidak mungkin akan mendapat bantuan dan perlindungan yang mereka perlukan.

PAS mesti sedar bahawa serangan terhadap NGO-NGO seperti ini hanya akan menyusahkan mereka yang tidak mempunyai tempat lain untuk mendapatkan bantuan.

Dalam Malaysia baru ini, kita seharusnya mengatasi perbezaan dan menonjolkan nilai-nilai kemanusiaan dan belas kasihan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Janganlah kita hanya mementingkan perbezaan, sebaliknya kita harus mempertahankan mereka yang terpinngir, lemah, miskin, yang kurang berupaya, ditindas, tercundang dan dalam kesusahan.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA