JOM OLA BOLA

JOM OLA BOLA

Kem Latihan Jom Ola Bola yang diadakan pada 7 Oktober yang lalu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari remaja Petaling Jaya yang telah menghadirinya.

Program ini dianjurkan oleh sukarelawan di bawah Pejabat Ahli Parlimen Petaling Jaya YB Maria Chin Abdullah dan merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan

dengan komuniti-komuniti yang lain di sekitar Petaling Jaya.

Seramai 180 peserta berumur 13-18 tahun daripada pelbagai komuniti, latar belakang dan kaum telah menyertai aktiviti ini yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Turut hadir untuk meraihkan aktiviti Jom Ola Bola termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya YB Maria Chin Abdullah, ADUN Taman Medan YB Syamsul Firdaus bin Mohamed Supri, ADUN Bukit Gasing YB Rajiv Rishyakaran, ADUN Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Ahli Majlis MBPJ Pn Ermeemarianna binti Saadon (Zon 15), En Leong Chee Cheng (Zon 7) dan En Thayalan A/L Khishnasamy (Zon 11).

Kem latihan ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapat latihan dan mempelajari teknik-teknik bola sepak daripada jurulatih-jurulatih professional secara percuma di satu persekitaran yang selamat.

Generasi Harapan iaitu nama salah satu daripada tujuh jawatankuasa di bawah Pejabat Ahli

Parlimen Petaling Jaya akan berusaha untuk menyediakan satu saluran untuk golongan belia menyuarakan pandangan mereka tentang isu-isu yang mereka hadapi.

Ini adalah selari dengan visi YB Maria Chin Abdullah untuk memperkasakan golongan belia supaya mereka dapat berjuang untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang prihatin dan inklusif.

Objektif utama kerja kami adalah untuk melibatkan belia daripada golongan B40 dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mencabar mereka untuk mengenalpasti cita-cita dan aspirasi mereka.

Program-program yang dijalankan juga adalah untuk mendedahkan belia kepada pengalaman-pengalaman baru yang akan mencabar mereka untuk terus berusaha ke arah peluang-peluang pendidikan yang akan menjamin masa depan yang lebih baik.

Kami percaya bahawa melalui pendidikan dan pendedahan, kami akan dapat mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin, toleran, majmuk dan berfikiran sivik.

Sehubung dengan pelancaran kem latihan Jom Ola Bola, kami juga ingin merakamkan

penghargaan kepada para rakan-rakan kita dari Fusionex, Six O’ Three Sports Management dan Airgol Malaysia kerana turut serta dalam menjayakan program kita pada hari ini.

Semoga aktiviti bola sepak ini dapat menjadi satu landasan yang sesuai untuk memupuk semangat kemasyarakatan di kalangan remaja di Petaling Jaya.

Tags:
,