MENCARI MAKNA SEBENAR KEMISKINAN

MENCARI MAKNA SEBENAR KEMISKINAN

Saya menyambut baik kenyataan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, yang mendapati bahawa terdapat keperluan mendesak bagi Malaysia untuk menilai semula garis kemiskinan kebangsaan yang ditetapkan pada paras RM980 setiap bulan (atau RM 8 setiap hari) dan untuk merangka dasar yang mengambil kira keperluan golongan terpinggir seperti pekerja asing, pelarian, rakyat Malaysia yang tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan dan golongan kurang upaya.

Kemiskinan adalah satu fenomena pelbagai dimensi yang terpasak atas hakikat kehidupan. Sebarang penilaian berkenaan kadar kemiskinan kebangsaan harus mengambil kira keupayaan rakyat Malaysia untuk hidup dengan sihat, mempunyai keupayaan untuk hidup bermasyarakat, dan mempunyai peluang untuk membina potensi peribadi dan keluarga. Malangnya, dalam pengalaman singkat saya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, saya mendapati bahawa hal ini tidak dicapai oleh ramai penduduk, meskipun mereka hidup bersebelahan dengan jiran mereka yang lebih berada.

Sebagai contoh, kaji selidik kecil oleh sukarelawan pakar pediatrik ke atas 46 kanak-kanak di PPR Lembah Subang mendapati bahawa 11% daripada mereka mengalami pertumbuhan terbantut. Guru-guru di sekolah yang mempunyai ramai pelajar miskin bandar telah berusaha untuk mengumpul dana untuk menyediakan makanan bagi pelajar mereka. Beberapa organisasi lain, termasuklah pejabat saya, sedang menjalankan inisiatif untuk memberi bantuan makanan kepada golongan terpinggir. Di bandar yang makmur seperti Petaling Jaya, masalah ini sewajarnya diambil sebagai petanda kecil bagi masalah peringkat kebangsaan yang lebih memudaratkan.

Walaupun Kerajaan sedang menangani masalah ini melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pengkalan data e-kasih, ianya tidak mencukupi atau sukar untuk diakses.

Persoalan yang dibangkitkan oleh En. Alston bukan sesuatu yang baru. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming, telah menyatakan bahawa garis kemiskinan kita perlu dikaji semula supaya sejajar dengan realiti dan harapan rakyat Malaysia. Hal ini juga telah dibangkitkan oleh Pengerusi Pusat Penyelidikan Pembangunan Ungku Aziz, Dr. Martin Ravallion, yang telah menjangkakan kadar kemiskinan relatif kita di 12%.

Ini adalah sesuatu yang telah saya bangkitkan dalam perbahasan parlimen untuk Belanjawan 2019, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan dalam perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong pada bulan Mac lepas. Sekali lagi, saya merayu Kerajaan untuk mengkaji beberapa laporan: contohnya, Khazanah Research Institute (KRI) telah mendapati bahawa isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,000 hanya mempunyai baki selepas perbelanjaan sejumlah RM76, menandakan kemampanan kewangan jangka masa panjang yang lemah. Manakala laporan oleh Bank Dunia mendapati bahawa 1 daripada 5 kanak-kanak mengalami pertumbuhan terbantut.

Pelbagai kajian yang telah dihasilkan menunjukkan bahawa pengalaman sebenar rakyat di abad ke-21 tidak dicerminkan oleh garis kemiskinan kebangsaan yang dirangka pada 1970-an. Meskipun kos sara hidup telah meningkat secara mendadak, garis kemiskinan tersebut kekal di paras yang sama. Kenyataan En. Alston dan kajian-kajian ini telah menunjukkan keperluan mendesak untuk menerima pakai konsep kemiskinan relative dan “living wage” dalam kayu ukur kemiskinan sedia ada sebelum lebih ramai rakyat Malaysia terpinggir.

MARIA CHIN ABDULLAH

Ahli Parlimen Petaling Jaya