MENGAPA KITA PERLU MELULUSKAN RUU IPCMC.

MENGAPA KITA PERLU MELULUSKAN RUU IPCMC.

Didapati tersebarnya salah faham terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang akan dibahaskan pada hari Selasa, 3 Disember ini.

Pihak polis khususnya telah menyatakan kebimbangan mengenai RUU tersebut dan mengatakan bahawa mendedahkan skandal polis kepada orang ramai akan melemahkan polis dan mencemarkan imej mereka.

Namun, IPCMC mempunyai tugas yang lebih daripada sekadar mempertimbangkan salah laku kerana ia juga akan melihat kepada aspek kebajikan polis. Terdapat lebih 130,000 anggota polis di seluruh negara dan terdapat keperluan untuk memastikan bahawa kebajikan setiap anggota polis di negara ini diberi keutamaan.

IPCMC bertujuan melindungi kebajikan dan kesejahteraan polis dan untuk mengaudit dan memantau kemudahan, operasi dan prosedur polis bagi meningkatkan profesionalisme, kesaksamaan dan akauntabiliti institusi penting ini.

MENGAPA ADA BANTAHAN TERHADAP IPCMC?

Bantahan utama kepada penubuhan IPCMC adalah bahawa ia melanggar Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan. Memang benar perlembagaan kita memberi kuasa yang luas kepada pasukan polis termasuk dalam hal-hal pelantikan, pemindahan dan kawalan tatatertib kepada Suruhanjaya Pasukan Polis. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuaan juga jelas membenarkan Parlimen untuk menetapkan kawalan tatatertib kepada pihak berkuasa yang lain. Adalah jelas bahawa telah wujud persoalan untuk penubuhan badan yang berasingan bagi mengawasi pasukan polis semasa usaha merangka Perlembagaan Persekutuan pada suatu ketika dahulu.

ADAKAH KITA MEMERLUKAN IPCMC?

Cadangan untuk menubuhkan IPCMC bukan baru: ia merupakan salah satu daripada cadagan yang telah dikemukakan 14 tahun yang lalu iaitu pada tahun 2005 oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan peningkatan jumlah kematian dalam tahanan dan dakwaan kekejaman polis. Suruhanjaya Diraja tersebut telah menerima lebih daripada 900 aduan penyalahgunaan kuasa termasuk kematian dalam tahanan, penderaan fizikal dan psikologi tahanan dan ketidakpatuhan kepada peraturan-peraturan penahanan pentadbiran.

Selain itu, RCI mendapati bahawa terdapat kekurangan akauntabiliti dan ketelusan sistematik dalam pasukan polis. Harus dimaklumkan bahawa kematian dalam tahanan tidak harus secara automatik dikaitkan dengan salah laku pegawai polis; sesungguhnya, hanya sejumlah kecil kematian adalah hasil daripada kegagalan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat keperluan yang mendesak untuk sebuah badan yang bebas untuk menyiasat perkara ini dan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap salah satu daripada institusi kebangsaan yang paling penting.

Berikutan Pembentangan Pertama RUU IPCMC pada 18 Julai lalu, RUU tersebut mencipta sejarah apabila menjadi RUU pertama yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang.

Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut telah mendengar dan meneliti pandangan-pandangan yang berbeza daripada para pakar, wakil pasukan polis, wakil-wakil daripada Independent Office for Police Conduct (IOPC) di United Kingdom, serta organisasi-organisasi bukan kerajaan. Saya yakin bahawa jawatankuasa ini, yang turut dianggotai YB Azalina Othman (BN – Pengerang) dan YB Datuk Seri Wan Junaidi (GPS – Santubong), telah mempertimbangkan semua pandangan yang dikemukakan dengan wajar dan teliti dalam membuat cadangan mereka kepada Parlimen.

ADAKAH KITA TIDAK MEMPUNYAI PENGAWASAN TERHADAP PIHAK POLIS?

Pada masa ini, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bertindak menyelia kelakuan disiplin semua pegawai penguatkuasa. Walaupun EAIC mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan, ia hanya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil oleh Suruhanjaya Pasukan Polis dan tidak boleh mengambil tindakan sendiri. Pembentukan IPCMC tidak bermakna EAIC kini tidak mempunyai peranan dan fungsi – ia masih akan memantau agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain.

PDRM juga telah menubuhkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk memastikan integriti dan disiplin, tetapi ada kebimbangan bahawa ia tidak boleh bertindak dengan bebas.

BAGAIMANAKAH ORANG AWAM AKAN TERJEJAS OLEH IPCMC?

Prinsip yang diperhatikan oleh kerangka penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia adalah: polis harus dipantau oleh badan yang bebas. Ini adalah penting kerana pihak polis mempunyai kuasa luas yang sekiranya tidak dipantau dengan teliti, boleh membuka ruang untuk disalah gunakan. Di Malaysia, keperluan ini amat mendesak kerana terdapat kebimbangan mengenai kuasa polis yang terlalu luas.

Terdapat beberapa contoh: kehilangan Amri Che May dan Raymond Koh, kematian Kugan Ananthan pada tahun 2009 disebabkan kegagalan buah pinggang semasa dalam tahanan polis dan kes Aminulrasyid Amzah, 14 tahun, yang meninggal dunia selepas ditembak oleh polis semasa kejadian kejar-mengejar berkereta pada tahun 2010. Dalam beberapa kes-kes tersebut, mangsa berjaya mendapat keadilan sama ada melalui pendakwaan jenayah atau melalui saman yang berlarutan.

Pendedahan hasil pemerhatian oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia juga amat membimbangkan. Dalam Laporan Tahunan Hak Asasi Manusia 2016 SUARAM, seramai 721 orang tahanan dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan dalam tempoh 2013 hingga 30 April 2016.

Ia juga menyebutkan tinjauan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menyatakan bahawa 10 peratus daripada 369 tahanan telah menyaksikan, mendengar atau mengalami keganasan fizikal.

Sebuah IPCMC yang bebas boleh memastikan bahawa kes-kes ini mendapat perhatian dan tindakan tatatertib yang betul boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab. Seterusnya ini juga akan membuka ruang untuk pihak polis sendiri memulakan siasatan jenayah terhadap pihak yang bersalah termasuk anggota polis sendiri.

ADAKAH IPCMC AKAN MENJADI SATU LAGI BADAN YANG TIDAK MEMPUNYAI KUASA?

RUU IPCMC mencadangkan bahawa IPCMC adalah bebas daripada pasukan polis dan tiada pegawai polis yang boleh menjadi ahli jawatankuasanya. Seksyen 6 (2) RUU juga menghalang pelantikan bekas anggota polis, anggota polis yang sedang berkhidmat atau anggota kerajaan sebagai ahli suruhanjaya.

IPCMC akan mendapat kuasa untuk menyiasat pelbagai jenis tindkan salah laku. Dalam fasal 47 RUU, laporan mengenai mana-mana kes kematian dalam tahanan hendaklah dilaporkan terus kepada IPCMC dan ini akan mengurangkan kemungkinan pihak polis sendiri mengganggu dan masuk campur dalam proses siatan kes-kes tersebut.

Lebih penting lagi, IPCMC akan mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana orang termasuk pegawai polis untuk memberikan maklumat atau menyerahkan dokumen untuk membantu siasatan. Sekiranya didapati gagal melaksanakannya, seseorang boleh dekenakan denda atau penjara, atau kedua-duanya sekali.

ADAKAH IPCMC AKAN MELUMPUHKAN PASUKAN POLIS?

Penubuhan IPCMC tidak bermakna bahawa pegawai polis akan dimangsakan oleh proses ini. RUU IPCMC memastikan perbicaraan yang bebas dan adil, dan mana-mana pegawai polis yang dituduh melakukan tindakan salah laku akan mempunyai peluang yang secukupnya untuk mempertahankan dirinya. Pegawai itu juga boleh melaksanakan haknya untuk berdiam diri. Di samping itu, seorang anggota pasukan polis akan duduk di Lembaga Tatatertib yang bakal mendengar tuduhan salah laku terhadap pegawai itu.

Pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan membolehkan pasukan polis mengekalkan kawalan tatatertib terhadap salah laku kecil. Polis masih boleh menyiasat dan membuat keputusan sendiri atas tindakan pentadbiran dan tatatertib yang kecil. Dalam kes-kes ini, IPCMC hanya akan memainkan peranan sekiranya mana-mana pihak merayu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib Salah Laku Kecil IPCMC.

Kedudukan Ketua Polis Negara (IGP) juga dihormati. Sekiranya terdapat tuduhan terhadapnya, Ketua Setiausaha Kerajaan akan melantik anggota lembaga khas untuk mendengar tuduhan, selaras dengan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Dengan adanya hak untuk merayu dan hak untuk berdiam diri, RUU IPCMC sebenarnya akan memberikan perlindungan yang lebih besar kepada pegawai-pegawai polis dan pada masa yang sama memastikan pengawasan terhadap Polis secara berkesan.

MENINGKATKAN KEBAJIKAN POLIS

Saya juga akan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk menjaga kesejahteraan pegawai-pegawai institusi polis negara yang dihargai ini. Kami kadang-kadang mendengar tentang kes-kes balai polis yang tidak lengkap, keadaan hidup yang tidak selesa di kuarters polis, dan beban kerja yang tinggi dan seolah-oleh menghukum dan gaji yang tidak mencukupi walaupun berlakunya peningkatan pada kos sara hidup. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa terdapat banyak kerisauan terhadap penubuhan Suruhanjaya ini.

Melangkah ke hadapan, saya akan terus menyokong dan memperjuangkan usaha meningkatkan kebajikan pegawai polis dan memartabatkan lagi kedudukan institusi polis negara. Namun ini hanya boleh bermula dengan sungguh-sungguh sekiranay kita terdapat usaha yang serius untuk memulihkan keyakinan orang ramai. IPCMC hanyalah permulaan.

Tags:
,