MESYUARAT KECEMASAN JEMAAH MENTERI

MESYUARAT KECEMASAN JEMAAH MENTERI

Kenyataan Media
Maria Chin Abdullah
Ahli Parlimen Petaling Jaya
3 Oktober 2020

Saya telah mendapat maklum bahawa pihak Kabinet Malaysia telah mengadakan satu mesyuarat kecemasan yang melibatkan jemaah menteri dan timbalan menteri serta ketua-ketua jabatan bagi membincangkan peningkataan kes Covid-19 baru-baru ini.

Justeru itu, saya ingin mengerah maklum balas segera daripada Perdana Menteri dan jemaah kabinet berkaitan perkara-perkara yang berikut:

  1. Bukankah semua individu, termasuk menteri dan timbalan menteri, yang telah pergi ke Sabah dan kembali ke Semenanjung perlu membuat ujian saringan Covid-19 dan diletakkan dibawah kuarantin kendiri dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari? Dalam kenyataan dan postingan Facebook YB Zuraida, beliau memaklumkan bahawa beliau sedang menjalankan kuarantin kendiri. Jadi adakah ini bermaksud semua menteri dan timbalan menteri perlu menjalani kuarantin juga?
  2. Adakah jemaah kabinet bermesyuarat menggunakan platfom alam maya?
  3. Sekiranya tidak, adakah mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut dan menyalahi garis panduan Covid-19 perlu dikenakan tindakan sewajarnya memandangkan ramai rakyat marhaen telah dipenjara atau didenda bagi kesalahan yang serupa?

Budaya berat sebelah tidak sepatunya wujud dalam kita mematuhi garis panduan Covid-19, terutamanya apabila negara kita masih lagi menjalani pemulihan daripada Covid-19. Ya, kita perlu hidup bersama virus ini dan kita juga perlu menjalankan tanggungjawab penting dan segera sebagai pemimpin, terumatanya kerajaan PN yang perlu menunjukkan kempimpinan dan kejujuran untuk mematuhi semua pengumuman dan amaran yang telah diberikan kepada rakyat. Kita mempunyai contoh apa yang boleh berlaku apabila seorang menteri melanggar garis panduan Covid-19 seperti yang terjadi melalui Khairuddin. Kita perlu ambil contoh dan situasi tersebut sebagai pengajaran kepada Perdana Menteri dan jemaah kabinet.

Saya memang mahukan maklum balas segera daripada Perdana Menteri untuk menjawab soalan-soalan saya. Sekiranya pihak menteri dan kabinet telah melanggari garis panduan Covid-19, sila beranikan diri untuk menerima denda. Nyawa kita semua menjadi taruhan.