PELANCARAN INITIATIF #105PJ

PELANCARAN INITIATIF #105PJ

Saya amat bersyukur pada hari ini kerana dapat melancarkan program-program di bawah Pejabat Parlimen P105 Petaling Jaya kearah sebuah bandar yang mampan dan berasaskan komuniti.

Projek ini yang akan dilaksanakan di bawah Pejabat saya adalah berasakan prinsip-prinsip yang tersenarai dalam manifesto saya semasa Pilihanraya ke 14, iaitu untuk berusaha kearah membawa satu kehidupan yang bermartabat untuk semua masyarakat.

Dalam merealisasikan matlamat ini, saya telah mewujudkan beberapa jawatankuasa-jawatankuasa khas yang dikendalikan oleh para sukarelawan yang terdiri daripada masyarakat awam. Sukarelawan-sukarelawan dari pejabat ini telahpun bekerja kuat sejak bulan Mei lagi bagi mewujudkan program-program yang dapat membangunkan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar yang selamat, inklusif, dan mampan melalui penyertaan dan pemerkasaan masyarakat.

Ini sememangnya merupakan sebuah initiatif yang diterajui oleh para sukarelawan di bawah pimpinan Pejabat Ahli Parlimen P105. Untuk makluman semua, terdapat tujuh jawatankuasa khas dibawah usaha ini iaitu Kesihatan, Pemberdayaan Wanita, Belia, Pengangkutan, Perumahan, Kemampanan Alam Sekitar dan Pendidikan Kewarganegaraan.

Objektif-objektif program ini adalah seperti berikut:

• Meningkatkan kesedaran kesihatan komuniti dan langkah yang perlu diambil untuk gaya hidup yang lebih sihat.
• Menjadikan perumahan awam sempurna dan selasa untuk didiami orang miskin.
• Memberdayakan wanita dan belia melalui pendidikan, penglibatan dan aktiviti pemerkasaan.
• Membina sebuah system pengangkutan yang inklusif dan mudah diakses untuk semua.
• Memperkenalkan satu eko-sistem yang sistematik dan mampan untuk meningkatkan kualiti kehidupan untuk semua.
• Meningkatkan kesedaran dan penyertaan rakyat, berpandukan prinsip-prinsip demokrasi.

Projek ini akan bertumpukan kepada strategi-strategi pembangunan mampan secara berintegrasi dan kita akan bekerja dengan komuniti-komuniti Petaling Jaya yang terpinggir, seperti di Taman Medan, Kampung Lindungan, Desa Mentari dan Lembah Subang.

Adalah penting bahawa untuk mewujudkan sebuah bandar yang pintar, berasaskan ilmu dan berorientasikan masyarakat, kita memerlukan penglibatan, input dan tindakan serta merangsangkan perkembangan ekonomi bagi menangani keperluan-keperluan sosial seperti pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan, dan perlindungan alam sekitar.

Pada hari ini, sukarelawan P105 telahpun menjalankan salah satu daripada program kita iaitu satu perbincangan kumpulan focus (Focus Group Discussion) bagi beberapa orang wanita daripada Taman Medan. Sepertimana yang disebut tadi, program ini dijalankan oleh sukarelawan daripada pejabat dan bertujuan memperkasakan golongan wanita melalui pendidikan, penglibatan dan aktiviti-aktiviti pemerkasaan.

Cara melaksanakan program-program ini merupakan sebuah projek yang unik bagi sebuah Pejabat Parlimen dan saya berharap bahawa proses boleh menjadi satu pilot test bagi mentransformasikan bandar-bandar seperti Petaling Jaya kepada sebuah bandaraya yang penyayang, makmur, berdaya tahan dan inklusif untuk semua.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA