PERKEMBANGAN TERKINI EDARAN BANTUAN MAKANAN DI PJ OLD TOWN

PERKEMBANGAN TERKINI EDARAN BANTUAN MAKANAN DI PJ OLD TOWN

Berikutan pengumunan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Lama Petaling Jaya, pejabat saya telah bertungkus-lumus dalam membantu pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyediakan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas oleh PKPD.

Dalam masa 12 jam PKPD diisytiharkan, kami telah berjaya membuat edaran bantuan makanan pertama kepada penduduk dengan bantuan JKM dan RELA. Kami telah menyediakan setiap isi rumah dengan 12 barang termasuk beras, makanan tin, susu, bihun, mi segera, dan minyak masak.

Barang-barang ini dibeli menggunakan hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Bantuan Covid-19 Pejabat Parlimen PJ untuk keluarga-keluarga yang memerlukan makanan untuk menghadapai Perintah Kawalan Pergerakan. Selain itu kami juga telah menerima sumbangan daripada para penaja termasuk dari UNHCR, Imaret, Yayasan Sin Chew, Kuil Buddha Fo Guang Shan, Yayasan Hasanah dan Our Journey. Sumbangan penaja-penaja tersebut telah datang dalam masa beberapa jam sahaja selepas panggilan dibuat.

Sukarelawan daripada Rukun Tetangga PJ Old Town, JKM, dan ngo-ngo EPIC dan Childline juga telah bergegas menghulurkan bantuan kepada kami dengan menyediakan bakul makanan yang telahpun diedarkan kepada penduduk, warga asing dan pelarian.

Semenjak perlaksanaan PKPD, pejabat saya juga telah menyelaras usaha mengedarkan makanan segar dengan kerjasama Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, Adun Taman Medan Ustaz Syamsul Firdaus dan Ahli Majlis MBPJ Pn Ermeemarianna. Kami telah menyediakan bantuan ayam, ikan dan sayur-sayuran kepada penduduk dan warga asing yang terjejas. Secara kolektif, pengedaran Parlimen, Adun dan Ahli Majlis kami telah menjangkau sejumlah 620 isi rumah (250 di Seksyen 2 dan 370 di Seksyen 3 & 4).

Setakat ini, pejabat saya telah membekalkan makanan sebanyak tiga (3) kali. Tarikh pengedaran kami seterusnya adalah pada hari Selasa, 19 Mei, di mana kami akan membekalkan ayam dan sayur-sayuran segar kepada penduduk. Hasil kerjasama dengan JKM, roti dan kaya juga akan diedarkan kepada penduduk pada hari Sabtu. YB Hee Loy Siang juga telah menyediakan mi segera dan roti kepada para penduduk. Edaran makanan dilakukan oleh JKM, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA dan akan diteruskan secara berperingkat pada minggu hadapan.

Namun demikian, kami telah mendapati bahawa terdapat penduduk PJ Old Town terutamanya mereka yang berusia dalam lingkungan 80-an dan 90-an yang bergantung kepada kedai-kedai berdekatan dan keluarga mereka yang tinggal di kawasan lain untuk makanan harian mereka. Disebabkan usia mereka, golongan warga emas ini tidak lagi dapat memasak untuk diri mereka sendiri. Kebanyakan mereka hidup dalam keadaan sempit dan kadangkala terdapat sebanyak 15 warga emas yang tinggal dalam satu bangunan. Beberapa bangunan ini juga uzur dan tidak mempunyai kemudahan memasak.

Sebilangan besar komuniti Old Town, khususnya mereka yang tidak terjejas oleh PKPD ini telah menghubungi saya untuk membantu individu-individu tersebut.

Oleh itu, kami telah berusaha untuk menyediakan makanan yang telah dimasak (makan tengah hari dan makan malam) kepada warga emas yang tidak dapat memasak. YB Rajiv dan Rukun Tetangga Old Town menyediakan makanan yang dimasak kepada 20 individu di Seksyen 2 manakala pejabat saya pula telah bekerjasama dengan Masala Wheels untuk menyediakan makanan yang dimasak kepada 45 individu di Seksyen 3 dan 4. Kami akan terus menyediakan makanan yang dimasak setiap hari sepanjang tempoh PKPD di Old Town.

Minggu hadapan kita bakal memasuki minggu kedua PKPD di PJ Old Town. Setakat ini, lebih daripada 2000 penduduk dari jumlah keseluruhan 2900 penduduk telah diuji untuk Covid-19. Diharap bahawa dalam tempoh ini, kita akan mula mendapatkan hasil ujian Covid-19 dan PKPD di Old Town juga akan berakhir dalam masa terdekat.

Saya sekali lagi menggesa pihak berkuasa untuk menyediakan ujian sariangan kepada warga asing dan pelarian, tanpa mengira status mereka. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita telah menyaksikan beberapa insiden warga asing dikumpulakan dan ditahan. Ini termasuk serbuan di kawasan-kawasan tumpuan pekerja asing di Pasar Borong KL, Selayang (11 Mei) dan Jalan Masjid India (1 Mei). Sementara itu setelah pengumuman PKPD-separa di Pudu baru-baru ini, ada juga kerisauan bahawa komuniti warga asing yang besar di sana juga akan diserbu. Alliance of Chin Refugees telah menganggarkan seramai 300 anggota komuniti Chin tinggal di kawasan tersebut.

Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengejar warga asing, termasuk kanak-kanak, dengan menyerbu tempat tinggal mereka atau menahan mereka. Sekiranya ini berterusan, kita akan melihat semakin banyak pelarian yang tidak mahu meminta pertolongan daripada pihak berkuasa kerana mereka takut ditahan setelah diuji positif, ataupun negatif untuk Covid-19. Apa yang seharusnya dilakukan oleh pihak berkuasa adalah untuk menggalakkan golongan ini untuk tampil kehadapan untuk mendapatkan ujian saringan tanpa rasa takut. Warga asing merupakan tetamu yang telah dijemput bekerja di negara kami untuk membantu dalam membina ekonomi. Kita harus menghormati hak dan kebebasan mereka.

Hari ini (16 Mei) merupakan Hari Hidup Bersama Dalam Keamanan Antarabangsa dan bagi menyambutnya, terdapat satu kempen atas talian bagi tujuan untuk membina sebuah dunia tanpa kekerasan terhadap pelarian dan warga asing. Kempen ‘Adanya Cara Lain’, akan berlangsung dari jam 3-5 petang ini, dan saya menyeru semua untuk menyertai kempen ini untuk menggunakan hashtag #MigranJugaManusia di media sosial iaitu Twitter, Facebook, TikTok atau Instagram bagi menunjukkan sokongan dan solidariti kami kepada warga asing dan pelarian. Krisis ini melibatkan kita semua.

MARIA CHIN ABDULLAH

AHLI PARLIMEN PETALING JAYA