REFORMASI MEMERLUKAN PENDEKATAN MENYELURUH

REFORMASI MEMERLUKAN PENDEKATAN MENYELURUH

Saya menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong bahawa Kerajaan akan memperkenalkan, meminda serta memansuhkan lebih 100 undang-undang. Pengumuman ini mempamerkan bahawa Kerajaan masih komited dengan usaha reformasi setelah memegang pentadbiran susulan Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kerajaan perlu mengguna kesempatan ini untuk mengambil pendekatan yang menyeluruh dalam mengubah landskap perundangan supaya institusi negara tidak terdedah kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Selama enam dekad, pelbagai institusi-institusi penting negara kian merosot dan sebahagian daripadanya berada dalam keadaan kronik dan tidak mampu untuk menjalankan fungsi asas malah menjadi rintangan bagi pembangunan Malaysia. Ini adalah ancaman sebenar terhadap masa hadapan negara yang perlu kita tangani dengan segera.

Reformasi perundangan perlu diiringi dengan penubuhan institusi teguh yang berlandaskan prinsip jelas tadbir urus, penyertaan rakyat dan hak asasi manusia. Ini adalah intipati agenda reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan.

Reformasi perundangan dan institusi teguh yang memupuk amanah, ketelusan serta menjunjung hak asasi manusia adalah penting. Pindaan undang-undang penahanan perlu dilengkapkan dengan reformasi kepolisan supaya tahanan menerima layanan yang adil dan saksama. Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan “menjalankan reformasi doktrin polis, fungsi, organisasi, sistem pengurusan, perundangan melibatkan bidang yang berada dalam tanggungjawab polis dan gerak kerja. Suruhanjaya juga bertujuan untuk menambahbaik taraf hidup dan pekerjaan pegawai polis.”

Reformasi penjara amat dinanti-nantikan dan usaha ini mesti mengambil pendekatan yang mengimbangi pembalasan, ketidakupayaan, pencegahan dan pemulihan untuk tahanan. Hal ini akan menetapkan standard yang tinggi dalam layanan tahanan kerana sudah terlampau banyak insiden salah guna kuasa yang dilaporkan telah berlaku dalam penjara dan lokap polis kita. Ramai di antara mereka akhirnya terperangkap dalam kehidupan jenayah dan tidak mampu untuk kembali kepada kehidupan biasa setelah dibebaskan.

Usaha kita mesti juga tertumpu terhadap memupuk kesedaran dan menyediakan institusi untuk bertindak sebagai “check and balance” ke atas perlaksanaan dan serta sebagai platform bagi membolehkan dialog antara orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan Kerajaan.

Kerajaan perlu menyediakan roadmap yang jelas bagi perlaksanaan usaha pemerkasaan institusi-institusi negara.  

MARIA CHIN ABDULLAH

AHLI PARLIMEN PETALING JAYA