TUBUHKAN MAJLIS BERSAMA UNTUK MEMASTIKAN SEKURITI MAKANAN UNTUK SEMUA

TUBUHKAN MAJLIS BERSAMA UNTUK MEMASTIKAN SEKURITI MAKANAN UNTUK SEMUA

Di bawah Agenda 2 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), hak untuk makanan yang mencukupi adalah hak asasi manusia sejagat yang diwujudkan apabila setiap orang mempunyai akses fizikal dan ekonomi pada setiap masa untuk mendapatkan makanan yang mencukupi atau cara untuk memperolehnya, tanpa sebarang diskriminasi.

Sangat mengejutkan bahawa Selayang Baru di Gombak baru-baru ini tiba-tiba diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang ketujuh. Pekara ini menambah kepada rasa ketakutan orang ramai bahawa mereka boleh secara tiba-tiba berada di bawah kawalan keselamatan yang ketat tanpa bekalan yang mencukupi.

Malangnya, PKPD ini telah dilaksanakan dengan menggunakan Seksyen 18 Akta Majlis Keselamatan Nasional (MKN), dengan memberi Majlis kuasa yang luas dan tidak terikat untuk mengisytiharkan ‘darurat’ di kawasan yang ditentukan (juga dikenal sebagai kawasan keselamatan).

Namun, untuk secara tiba-tiba mengisytiharkan kawasan keselamatan dan pada masa yang sama masih gagal memastikan bekalan makanan yang berterusan, seperti yang dilihat di beberapa kawasan di Selayang setelah ia diletakkan di bawah PKPD, menunjukkan tahap kesediaan Kerajaan yang rendah untuk menjamin keselamatan makanan.

Baru-baru ini saya telah menerima dua permintaan untuk bantuan bekalan makanan daripada penduduk di Selayang yang terdesak untuk mendapatkan bantuan makanan. Penduduk di kawasan ini diletakkan dalam keadaan tertekan, kerana mereka tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka untuk membeli makanan manakala kedai-kedai ditutup sepenuhnya tanpa sebarang notis. Ramai tidak bersedia untuk menghadapai situasi ini dan tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk bertahan walaupun beberapa hari.

Di sebalik janji Kerajaan bahawa makanan akan diedarkan ke kawasan tersebut, edaran makanan tidak dilakukan dalam masa 24 jam, dan menyebabkan banyak orang belum menerima sebarang makanan. 

Walaupun saya memahami keperluan bertindak dengan cepat dan tegas untuk mengasingkan kawasan-kawasan tertentu untuk membendung penularan wabak Covid-19, kita tidak boleh terlupa akses orang ramai kepada makanan dan bahawa mereka sedang hidup dalam ketakutan kerana kekurangan maklumat dan koordinasi untuk menjamin kelangsungan hidup mereka semasa PKPD.

Terdapat keperluan mendesak bagi Kerajaan untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk NGO, sektor swasta dan wakil rakyat merentas parti untuk menjamin akses makanan di kawasan PKPD yang ditetapkan dan juga kepada masyarakat yang paling rentan (vulnerable) terutamanya daripada golongan B40 di seluruh Malaysia.

PKPD ini juga telah menimbulkan beberapa masalah yang tidak menyenangkan berkaitan dengan pengedaran bantuan makanan.

Kawalan terpusat terhadap pengedaran makanan. Visi “Kemakmuran Bersama” diuji secara serius ketika bantuan makanan dipolitikkan dan pengedaran makanan dikawal secara ketat oleh Kerajaan. Diumumkan bahawa bekalan bakul makanan akan diedarkan ke setiap kawasan Parlimen untuk Rakyat yang memerlukan. Namun demikian, didapati bahawa Kerajaan, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah memilih secara selektif di mana bantuan tersebut akan diedarkan. Sebilangan besar Ahli Parlimen Pembangkang, termasuk saya, tidak mendapat jumlah makanan keperluan yang mencukupi untuk diedarkan kepada yang memerlukan.

Selepas pertukaran kuasa, Kerajaan telah bertindak cepat untuk memotong dana pembangunan semua anggota Parlimen pembangkang. Saya terpaksa mencari dana sendiri untuk membeli bantuan makanan untuk golongan yang rentan di kawasan saya. Saya bernasib baik kerana banyak rakyat Malaysia yang dermawan telah menyumbangkan dana dan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan untuk membantu mereka yang memerlukan di Petaling Jaya. Namun begitu, ramai Ahli Parlimen Pembangkang yang lain, walaupun telah menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada ramai, masih berdepan dengan kesusahan untuk menampung jumlah permintaan bantuan makanan yang semakin meningkat terutamanya dari kawasan PKPD.

Kurangnya ketelusan dalam pengedaran makanan. Kemanakah perginya semua bakul makanan? Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai telah menjumpai banyak bakul makanan kerajaan yang tidak diedarkan tetapi disimpan lebih daripada seminggu. Baru-baru ini, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan bahawa nilai bakul makanan Kerajaan hanya mencecah RM35, dan mengatakan bahawa bakul ini berasal daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO). Namun pada waktu yang sama, beliau gagal mengatakan nilai bakul makanan kerajaan, berapa banyak yang telah diperuntukkan untuk setiap Kawasan, dan siapa yang telah menerima bantuan makanan.

Tidak sampai kepada golongan miskin dan terpinggir. Sekiranya pangkalan data mengenai siapa yang miskin dan di mana mereka berada sedia ada, ia akan membolehkan bantuan dihulurkan kepada mereka dengan lebih cepat. Proses untuk mendapatkan bantuan makanan untuk golongan yang miskin juga merupakan sesuatu yang menekankan untuk masyarakat sivil, Ahli Parlimen dan perwakilan DUN kerana mereka harus mencari, mengesahkan dan akhirnya mengedarkan makanan tersebut. Kebanyakkan kali, saya telah menemui Rakyat yang terkeluar daripada “pangkalan data” contohnya seorang wanita warga emas yang bergantung kepada adiknya yang juga telah kehilangan pekerjaannya kerana PKP; seorang lagi ibu tunggal yang bergaji harian yang tidak dapat keluar mencari wang untuk membeli lampin untuk anaknya yang lumpuh kerana PKP; dan seorang ibu tunggal kepada tujuh orang anak yang telah berada dalam kesusahan untuk mecari makanan untuk keluarganya; dan ramai lagi. Ini juga membangkitkan fakta bahawa golongan wanita merupakan kumpulan yang paling terjejas terutamanya sekiranya mereka merupakan ibu tunggal dan ketua rumah.

Golongan lain seperti pekerja migran, pelarian dan masyarakat yang terpinggir sukar mendapatkan makanan kerana mereka bergaji harian ataupun semasa majikan mereka terpaksa memberhentikan kerja semasa PKP. Saya telah menemui empat pekerja migran yang terpaksa berkongsi satu paket mi segera setiap hari. Sementara itu, terdapat 200 lagi pekerja migran Bangladesh yang dibiarkan berkongsi 100 paket bungkusan makanan antara mereka.

Saya menyaran Kerajaan untuk memandang serius isu sekuriti makanan dan akses kepada hak makanan dan melaksanakan cadangan-cadangan berikut:

(i)            Desentralisasi dan demokrasikan pengedaran makanan untuk membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat bekerjasama dengan Anggota Parlimen, masyarakat awam dan juga agensi-agensi kerajaan lain untuk mengedarkan makanan dengan lebih cepat kepada yang memerlukan

(ii)           Mempunyai pangkalan data yang berkesan, telus dan mudah diakses supaya masyarakat terpinggir dan orang-orang yang paling rentan termasuk warga tua, orang kurang berupaya dan pekerja migran tidak terlepas daripada menerima bantuan. Maklumat ini harus disampaikan kepada kumpulan kemanusiaan yang bekerja di barisan hadapan untuk mengurangkan kemungkinan kumpulan yang memerlukan ketinggalkan.

(iii)          Menggunakan teknologi terkini seperti Big Data, 5G dan AI untuk menyelaraskan rantaian bekalan dengan lebih baik dalam industri untuk membantu penghasilan dan pengeluaran makanan, bekalan perubatan dan barang-barang penting lain semasa PKP. Kita harus membina bekalan makanan domestik yang mampan dalam jangka masa panjang.

(iv)          Membentuk Majlis Kecemasan Lintas Parti dengan segera yang terdiri daripada profesional dan pakar-pakar dalam bidang kesihatan, perkhidmatan sosial, pelaburan, perbankan dan keselamatan makanan untuk membina peta jalan (roadmap) untuk pelaksanaan dasar-dasar utama selama dan pasca-Covid 19 agar kita lebih bersiap sedia dan selaras untuk masa depan.

(v)           Aktifkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Kecemasan Lintas Parti untuk mengembangkan rancangan strategik pra-pasca-Covid-19. Tujuannya adalah untuk merancang bukan hanya untuk pemulihan ekonomi dan kemampanan tetapi juga untuk membina jaring keselamatan sosial yang lebih berdaya tahan untuk semua.

Adalah sangat menyedihkan bahawa pada masa ini, terdapat Rakyat Malaysia yang kelaparan dan seakan-akan hidup seperti di zon perang yang aktif tanpa mengetahui bila keadaan mereka mungkin berubah. Untuk jangka masa segera dan panjang, perancangan strategik harus dimulakan sekarang dan bukannya hanya selepas pasca Covid 19, jika tidak, ramai rakyat Malaysia akan menderita.

MARIA CHIN ABDULLAH
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA